13/08/2026
Pada 8 Ogos 2026 - telah diadakan Kursus Jangka Pendek Membuat Aneka Roti selama sehari bertempat di GIATMARA Putrajaya dengan kerjasama Lembaga Kebajikan Perempuan Islam Malaysia (LKPIM), Wilayah Persekutuan Putrajaya. Kursus ini disertai oleh peserta yang terdiri daripada warga komuniti Wilayah Persekutuan Putrajaya yang telah dipilih oleh pihak LKPIM.
Pelaksanaan kursus ini bertujuan memberikan pendedahan dan pengetahuan kepada para peserta berkaitan teknik serta kaedah penyediaan roti yang betul, di samping berkongsi resipi dan kemahiran praktikal dalam menghasilkan aneka jenis roti. Pendekatan secara teori dan amali yang diterapkan sepanjang kursus memberi peluang kepada peserta untuk mempraktikkan sendiri kemahiran yang dipelajari dengan bimbingan Tenaga Pengajar GIATMARA Putrajaya.
Kursus ini diharapkan dapat memberi manfaat kepada para peserta dalam meningkatkan kemahiran, membina keyakinan serta membuka peluang untuk menjana pendapatan tambahan melalui penghasilan dan penjualan produk bakeri.
Sebagai penutup kursus, para peserta berpeluang membawa pulang hasil produk roti yang telah dihasilkan sendiri sepanjang sesi amali selain menerima sijil penyertaan sebagai tanda penghargaan atas komitmen dan penyertaan mereka dalam kursus tersebut.